BAB 14: PENGURUSAN PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH
BAB 14: PENGURUSAN PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH
Fenomena penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah
perlu dipandang serius kerana ia mempunyai perkaitan dengan permasalahan
disiplin seperti merokok, ponteng sekolah, melawan guru, mencuri, bergaduh dan
merosakkan harta benda sekolah. Pada kebiasaannya, pelajar yang terlibat dengan
penyalahgunaan dadah bukan sahaja menghadapi permasalahan disiplin dan akademik
tetapi mereka juga terdedah kepada risiko gejala sosial di luar sekolah seperti
penglibatan dengan kumpulan samseng, pergaulan bebas, melepak, kehamilan
sebelum kahwin dan lari dari rumah (AADK, 2007).
Kementerian Pelajaran telah mengatur pelbagai strategi
pencegahan awalan bagi menangani permasalahan dadah dalam kalangan pelajar.
Salah satu daripada strategi tersebut ialah melalui pelaksanaan Program
Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di sekolah rendah. Program PPDa merupakan
salah satu daripada sistem sokongan sekolah ke arah menangani gejala sosial
yang melibatkan kalangan pelajar sekolah. Menurut Mohd Muzafar Shah dan Abdul
Malek (2005), Program PPDa ini harus dapat memupuk semangat jati diri pelajar
yang seterusnya dapat membentuk nilai murni, budi pekerti yang mulia dan
terpuji, kerohanian yang luhur dan memiliki perasaan cinta serta sayang kepada
diri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
Selain itu, objektif PPDa ialah:
* Mewujudkan
pemikiran generasi muda yang bebas daripada pengaruh dadah.
* Menyediakan
alternatif berfaedah yang dapat mencegah mereka daripada terlibat dengan
penyalahgunaan dadah.
* Mewujudkan suasana persekitaran yang kondusif untuk
pengajaran dan pembelajaran.
Kementerian Pelajaran Malaysia telah diberi tanggungjawab
untuk mengenalpasti, merancang dan melaksanakan segala program dan aktiviti
tindakan berhubung dengan pendidikan pencegahan dadah. Walaupun PPDa telah
dilaksanakan secara menyeluruh yang meliputi peringkat sekolah, daerah, negeri
dan kebangsaan tetapi masih terdapat sebilangan pelajar sekolah yang terlibat
dengan penyalahgunaan dadah. Perangkaan yang dikeluarkan Bahagian Sekolah,
Kementerian Pelajaran Malaysia (2006) menunjukkan bahawa terdapat sebilangan
pelajar sekolah yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Mengikut perangkaan
yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan iaitu dari tahun 2002 hingga 2005
terdapat seramai 1,015 orang pelajar sekolah telah dikenalpasti terlibat dengan
penyalahgunaan dadah.
Justeru, usaha untuk mencegah dadah ditumpukan kepada
generasi muda kerana mereka merupakan tulang belakang dan pewaris kepimpinan
negara ini pada masa depan. Seperti yang kita sedia maklum, mencegah adalah
lebih baik dari mengubat. Dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bagi
memastikan generasi masa hadapan hidup aman dan gembira tanpa dadah.
Comments
Post a Comment